Archive for the ‘Piala Malaysia’ Category
Johor FC Kurang Peledak
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
AKIBAT terlalu bergantung kepada kelibat pemain import mengemudi jentera serangan, Johor FC kini berada dalam dilema kerana tidak memiliki barisan serangan ampuh untuk memulakan kempen Liga Super, Januari ini.
Musim lalu, skuad yang digelar Lebah itu terlalu mengharapkan pemain import dari Argentina, Gustavo Fuentes dan Walter Silva Ariel hingga menyaksikan pemain tempatan tampak tenggelam selepas gagal berada dalam kesebelasan utama.
Senario itu nyata mengundang resah buat jurulatih Ramlan Rashid yang kini terpaksa mempertaruhkan Fahruzzahar Ali dan Mohd Ezaidy Khadar, namun kedua-dua pemain itu tidak mencukupi.
“Walaupun formasi yang kerap dipraktikkan adalah 4-5-1, namun ia jelas berisiko seandainya kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan atau digantung perlawanan kerana kami tidak mempunyai penyerang.
“Pada awalnya perancangan untuk mengikat penyerang kebangsaan, Safee Sali, namun pemain itu tidak mahu berpisah dengan Selangor dan saya hormati keputusannya dan kami perlu mencari pemain lain yang mampu menggalas tugas selaku penyerang.
“Hanya pemain Piala Presiden saja yang menjadi pilihan tetapi pihak pengurusan sedang berusaha mencari penyerang yang lebih berpengalaman,” katanya.
Ramlan berkata, Johor FC melepaskan Tengku Hazman Raja Hassan yang kini mengintai peluang bersama PKNS FC dan Daudsu Jamaluddin yang beraksi untuk Kelantan atas permintaan kedua-dua pemain itu.
Beliau juga berkata, tiada perubahan ketara dalam skuad Lebah kerana kesemua pemain sudah menandatangani kontrak di Komplek Sukan Nusa Mutiara, Sabtu lalu dan latihan penuh hanya akan bermula awal November ini.
Skuad Lebah yang menamatkan saingan liga elit domestik di tempat ketiga selain melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia buat pertama kali turut mengekalkan Sazali Saidun dan Ramlan Sarman selaku penolong jurulatih, namun masih belum memiliki jurulatih penjaga gol bagi mengganti Omar Salim yang kembali ke pangkuan Johor.
Harian Metro
Dilema PTAM
Oleh Bazly Azmi
bazly@hmetro.com.my
KEJOHANAN Tinju Remaja Kebangsaan, landasan terbaik Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) dalam pencarian bakat baru sejak dekad lalu berdepan risiko pembatalan ekoran masalah kewangan.
Setiausaha Kehormat PTAM, Mejar (B) Maulud Othman (gambar), berkata langkah itu besar kemungkinan terpaksa diambil kerana pihaknya belum menerima tuntutan berjumlah RM15,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas menganjurkan Kejohanan Tinju Piala Malaysia, Julai lalu.
“Ketika ini, PTAM tidak berani menganjurkan sebarang kejohanan kerana masalah dana. Kami bukan menunggu bayaran tuntutan daripada MSN semata-mata kerana turut mempunyai saluran kewangan lain, namun ketika ini kewangan kami agak bermasalah.
“Saya bimbang banyak program yang sudah dirancang bakal tergendala andai perkara ini gagal diselesaikan dengan segera,” katanya.
PTAM melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad tinju dengan menambah tiga peninju pelapis menyertai Eddy Kalai dan Paunandes Paulus dalam program elit termasuk mengekalkan jurulatih, Kalen Asanov.
Malah, demi mencapai pingat pada Sukan Sea Laos, tahun depan, PTAM bersetuju memindahkan 11 pelapis dari Akademi Serantau, Johor ke MSN Keramat dengan jumlah pelatih terbaru di sana seramai 16 peninju.
Begitupun, wujud kebimbangan untuk mencapai sasaran itu ekoran masalah kewangan sekalipun tinju antara sukan disenaraikan dalam Sukan Olimpik.
“Biarpun peninju tidak dijadual menyertai kejohanan antarabangsa untuk baki hujung tahun ini, namun ada rancangan menghantar mereka berlatih di luar negara.
“Saya harap akan ada penaja berminat menghulur sumbangan untuk mengukuhkan sumber kewangan kami,” katanya.
Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan, platform sokongan kepada Sukan Malaysia (Sukma) sepatutnya diadakan sebaik tamat Kejohanan Tinju Piala Malaysia.
Pencapaian terbaik peninju negara tahun lalu ialah menerusi dua pingat perak dan tiga gangsa Sukan Sea Korat sekali gus antara kejayaan terbesar pada temasya terbesar Asia Tenggara itu.
Namun, akhir bulan lalu, peninju elit yang kini hanya membariskan Eddy dan Paunandes ekoran pengguguran selain persaraan rakan sepasukan menyaksikan kedua-duanya termasuk Kalen nyaris digugurkan berpunca prestasi hambar. Tetapi, PTAM menarik semula rancangan itu selepas bermesyuarat dengan MSN.
Harian Metro
Empat Calon Pahang
Oleh Asrol Awang
am@hmetro.com.my
TIGA jurulatih yang pernah mengendalikan Pahang disebut-sebut bakal melatih skuad berkenaan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Jurulatih itu ialah Yunus Alif, Tajuddin Nor dan Ahmad Yusof.
Malah, khidmat jurulatih Pahang musim 2007/2008, Zainal Abidin Hassan turut dikatakan ditagih walaupun bekas pemain kebangsaan itu dilaporkan tidak akan membimbing pasukan itu.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Muhammad Safian Ismail, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan skuad Pahang akan dikendalikan jurulatih baru.
Setakat ini pihaknya sedang menimbang senarai beberapa jurulatih baru termasuk kemungkinan mengekalkan jurulatih musim lalu.
Namun, beliau enggan mendedahkan senarai jurulatih baru berkenaan kerana keputusan muktamad hanya akan diputuskan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
“Kami memang menimbang mendapatkan khidmat jurulatih baru bagi mengharungi musim depan tetapi segala keputusan tidak dapat disahkan memandangkan mesyuarat berhubung skuad Pahang belum diadakan.
“Ini kerana saya menunggu keputusan daripada Presiden PBNP yang akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Berdasarkan pencapaian musim 2007/2008, Pahang berada di tangga kelapan daripada 13 pasukan dengan mengutip 30 mata dan layak ke suku akhir Piala FA.
Bagi saingan Piala Malaysia pula, Pahang sekadar melengkapkan saingan Kumpulan C apabila impian ke suku akhir gagal selepas menduduki tangga keempat daripada enam pasukan.
Jika diukur prestasi semasa, skuad Pahang gagal mempamerkan persembahan meyakinkan musim ini walaupun memiliki beberapa pemain handalan.
Harian Metro