Archive for the ‘Francesc Fabregas’ Category
Arsenal Paling Konsisten

ARSENAL perlu menewaskan Sunderland hari ini untuk menebus kekalahan kepada Hull dalam saingan Liga Perdana England minggu lalu.
KEKALAHAN memeranjat 1-2 kepada Hull City dalam saingan Liga Perdana England, Sabtu lalu akan kekal dalam ingatan jurulatih Arsenal, Arsene Wenger.
Selain dimalukan di hadapan peminat sendiri di Stadium Emirates, kekalahan itu juga dicatat sehari sebelum dia meraikan ulang tahun ke-12 sebagai pengurus The Gunners.
Ini adalah kekalahan kedua Arsenal musim ini selepas tewas 0-1 kepada Fulham pada 23 Ogos lalu.
Selain itu, kekalahan kepada Hull adalah yang kedua bagi Arsenal daripada 60 perlawanan di stadium keramat mereka itu.
Sejak kekalahan itu, The Gunners mempamerkan kebangkitan untuk memenangi tiga perlawanan seterusnya dan meletakkan mereka di kedudukan teratas liga.
Begitupun, rentak anak buah Wenger itu tidak berkekalan apabila mereka sekali lagi tumbang kepada Hull iaitu kelab baru dalam Liga Perdana England musim ini.
Sudah tentu pencapaian ini tidak menggembirakan Wenger meskipun dia dikatakan mempunyai barisan pemain yang terbaik di dunia.
Selain menghimpunkan ramai pemain muda yang berbakat, Arsenal juga dibarisi beberapa pemain berpengalaman terutamanya di bahagian pertahanan.
Dipimpin oleh kapten, William Gallas dan Kolo Toure, gawang mereka cukup kebal dan selepas enam perlawanan liga, hanya empat gol sahaja dilepaskan.
Jentera serangan Arsenal juga tidak kurang hebatnya hasil gandingan pemain antarabangsa Sepanyol, Cesc Fabregas, Emmanuel Adebayor, Theo Walcott, Robin van Persie dan beberapa pemain muda yang lain seperti Carlos Vela, Jack Wilshere serta Nicklas Bendtner.
Di sebalik prestasi yang tidak menentu ini, Wenger tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk mengharungi kempen musim ini.
Lantaran itu dia meletakkan harapan yang tinggi terutamanya untuk menyaingi kehebatan pencabar terdekat Manchester United, Chelsea dan Liverpool dalam perebutan gelaran Liga Perdana England.
Untuk rekod, pengendali dari Perancis berusia 58 tahun itu telah memenangi tiga gelaran Liga Perdana England dan empat Piala FA sejak memimpin Arsenal pada tahun 1996.
Begitupun, dia gagal menghadiahkan gelaran liga sejak tahun 2004 dengan trofi terakhir yang dimenangi kelab The Gunners ialah Piala FA pada tahun 2005.
Jika diimbas sejarah Arsenal, mereka masih lagi dianggap sebagai salah sebuah kelab yang berjaya selepas memenangi 13 trofi Liga Perdana England dan 10 gelaran Piala FA sejak ditubuhkan pada tahun 1886.
Bagaimanapun pencapaian di Eropah tidak begitu membanggakan selepas gagal memenangi sebarang gelaran dan rekod terbaik adalah di tempat kedua dalam saingan Liga Juara-Juara pada tahun 2005.
Mungkin kekurangan pengalaman menjadi faktor utama yang menyukarkan peluang mereka untuk memenangi gelaran ini.
Selain itu dia juga mengakui kemenangan di Stadium Emirates amat penting kerana tidak ada sebarang jaminan kejayaan di luar kota London.
Wenger bimbang skuad muda kendaliannya akan terperangkap dengan corak permainan lawan kerana menganggap mereka masih masih belajar untuk mengawal tempo perlawanan.
Ini jelas dapat dilihat pada perlawanan pembukaan dua minggu lalu apabila Dynamo Kiev mengikat Arsenal dengan keputusan seri 1-1 di Ukraine.
Tindakan Wenger untuk melengkapkan skuad kendaliannya dengan barisan pemain muda berbakat telah mencerahkan masa depan Arsenal berbanding kelab-kelab lain di Eropah.
Kemenangan 4-0 ke atas Porto di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua Kumpulan D Liga Juara-Juara Selasa lalu telah memberi kepuasan kepada Wenger.
“Pemain yang beraksi ketika menentang Dynamo Kiev sangat muda. Theo Walcott berusia 19 tahun, Alexandre Song berusia 21, Denilson berusia 20 tahun dan Cesc Fabregas baru 21 tahun,” kata Wenger.
“Tanpa pengalaman yang banyak, bukan mudah untuk menang di tempat lawan dalam kempen Liga Juara-Juara.”
Kehadiran Wenger ke Arsenal membawa satu perubahan yang besar apabila dia memperkenalkan taktikal, corak latihan baru serta gaya permainan yang pantas.
Selain itu penggendali dari Perancis ini juga berani membawa masuk ramai pemain luar negara yang masih dianggap mentah dan teruja untuk bermain di England.
Dia juga mempunyai reputasi yang cukup mengagumkan terutamanya dalam melahirkan pemain terbaik dunia.
Di Monaco, dia membimbing pemain Liberia, George Weah yang kemudiannya menjadi pemain terbaik dunia bersama AC Milan, pemain Cameroon, Tonnerre Yaounde dan Nigeria, Victor Ikpeba pula menjadi pemain terbaik Afrika.
Ketika di Arsenal, dia berjaya menaikkan nama Thierry Henry, Patrick Vieira, Francesc Fabregas, Robin Van Persie dan Kolo Toure menjadi pemain terbaik di dunia.
Hasilnya, Arsenal memenangi gelaran berganda Liga Perdana England dan Piala Liga pada tahun 1997/98 dan yang ketiga pada tahun 2001/02.
Sebagai tambahan, mereka mara ke perlawanan akhir Piala UEFA tetapi tewas kepada Galatasaray menerusi sepakan penalti pada tahun 1999/2000.
Begitupun kejayaan mereka merangkul gelaran liga pada tahun 2003/04 mencatat sejarah tersendiri selepas berjaya mengekalkan rekod bersih sebanyak 49 perlawanan.
Kejayaan ini telah meletakkan nama penyerang Perancis, Thiery Henry sebagai penyerang terbaik dunia sebelum dia mengambil keputusan untuk berpindah ke Barcelona.
Tetapi Henry tidak dapat menyesuaikan diri di kelab gergasi Liga Sepanyol itu selepas dia diletakkan di posisi yang tidak menjadi kegemarannya.
Ekoran daripada itu, tanpa berselindung dia menyuarakan hasratnya untuk kembali beraksi dalam kancah Liga Perdana England.
Kosmo